Nukilan Raya: Eratkan Kasih, Suburkan Ukhuwah
Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri buat seluruh warga Universiti Malaysia Terengganu yang dikasihi,
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dipertemukan lagi dengan Syawal yang penuh barakah ini. Setelah sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta mendidik jiwa, kini tibalah masa untuk kita merayakan kemenangan – bukan sekadar fizikal, tetapi juga rohani.
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan dengan baju baharu, kuih-muih dan kunjungan ke rumah sanak saudara. Ia juga adalah masa untuk kita merenung dan memperkukuh nilai kasih sayang serta kebersamaan yang selama ini mungkin terabai dalam kesibukan harian.
Di sebalik kemeriahan Syawal, masih ramai insan yang kurang bernasib baik. Atas dasar itu, MPP UMT dengan kerjasama rakan strategik dari Yayasan Perkasa Siswa dan Pertubuhan Jejak Jalanan telah menganjurkan Program Eratkan Kasih Santuni Insan 2025 bagi menyantuni golongan gelandangan sekitar Kuala Lumpur.
Melalui program ini, pek makanan iftar dan sahur serta sumbangan pakaian terpakai telah diagihkan dengan harapan dapat membawa sinar kebahagiaan buat mereka. Ini membuktikan bahawa walaupun kita masih bergelar pelajar, kita mampu memainkan peranan besar dalam menyebarkan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
MPP percaya, perayaan sebenar bukan hanya pada apa yang kita pakai atau makan, tetapi pada keikhlasan memberi dan kesungguhan menyantuni mereka yang memerlukan. Kita beraya bukan hanya dengan keluarga, tetapi juga dengan masyarakat sekeliling yang menjadi sebahagian daripada ekosistem kasih sayang yang kita bina bersama.
Sempena Hari Raya ini, marilah kita saling bermaafan, bersatu hati dan menyuburkan ukhuwah antara sesama mahasiswa dan warga UMT. Mungkin ada teguran, perbezaan pendapat atau kelemahan dalam pentadbiran kami sebagai wakil pelajar – kami pohon ampun dan maaf atas segala kekurangan yang berlaku sepanjang kami menjalankan amanah ini.
Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar UMT. Semoga Syawal ini menjadi titik mula kepada hubungan yang lebih erat antara kita semua.
Nukilan oleh:
MUHAMMAD AFIQ NAQIUDDIN BIN MOHD AFIZAL
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Malaysia Terengganu,
Sesi 2024/2025.
mpp@umt.edu.my
Instagram: @officialmppumt
YouTube: OfficialMPPUMT
Facebook & Twitter: @officialmppumt
TikTok: @mpp.umt
#MediaSiswa
#KebersamaanUMT
#UMTCitaWarisan
#RayaPrihatin
#SantuniInsan
#MalaysiaMadani
#MPPUMT
